Seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth, hari ini atas tuduhan meminta suapan wang RM13,000 daripada seorang pengarah syarikat, tiga tahun lalu.
Mohamed Rizal Salim, 40, didakwa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana yang lebih tinggi.
Bapa empat anak berusia dua hingga 11 tahun itu dituduh sebagai Jurutera Awam Gred J41 secara rasuah meminta RM13,000 daripada pengarah syarikat berusia 59 tahun sebagai dorongan untuk meluluskan kerja perolehan di JPS Daerah Barat Daya kepada perniagaan digunakan individu itu.
Tertuduh yang diwakili peguam, Aqmarul Aqil Ismail didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Jurutera JPS Daerah Barat Daya, dekat sini pada 25 Mac 2022. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee.
Mohd Rizal mengaku tidak bersalah sebelum mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 bersama syarat tambahan melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula 8 Ogos depan.
Sumber: BH ONLINE