Suami isteri ditahan lacur, rakam, jual video lucah di media sosial

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri disyaki merakam dan menjual kandungan porno di media sosial ditahan menerusi serbuan Ops E-Noda, di sebuah hotel empat bintang sekitar Shah Alam, Selangor, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pasangan warga tempatan itu yang sudah mempunyai empat anak disyaki turut melacurkan isterinya dengan harga kira-kira RM450 ke RM800.

Menurutnya, pasangan itu menjual video porno terbabit menerusi saluran di Telegram pada harga RM50 bagi Private Channel Limited Content dan RM150 bagi Private Channel VVIP Unlimited Content.

“Pasangan itu menyasarkan pengguna X untuk menjual video lucah dan aktiviti pelacuran yang diuruskan oleh suami dan akan menggunakan Telegram sebagai medium perbualan.

“Pelanggan yang membeli atau melanggan video lucah akan diberikan pautan di Telegram untuk mendapatkan akses penuh kandungan lucah berkenaan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata, bagi perkhidmatan seksual pula, slot khas akan diaturkan oleh suami yang hanya dibuka dua hari seminggu dan suspek mendakwa mampu mengaut untung hingga RM6,400 setiap minggu.

Katanya, hasil soal siasat, suspek lelaki mendakwa menerima wang bagi penjualan video lucah secara bayaran dalam talian dan kod QR atau tunai bagi perkhidmatan seksual bersama isterinya.

Menurutnya, suspek lelaki juga berperanan sebagai pencipta kandungan dan bertanggung jawab mempromosikan hasil kerja lucah mereka menggunakan telefon bimbitnya.

“Suspek wanita yang berperanan sebagai pelacur memainkan watak utama dalam video lucah terbabit bagi membantu melariskan jualan video berkenaan serta menarik minat pengikut mereka di media sosial.

“Suspek mendedahkan aktiviti slot seks hanya dijalankan di sebuah hotel sejak Jun 2024 hingga kini.

“Menurut suspek wanita, hasil keuntungan dari penjualan video lucah dan perkhidmatan seks akan dikongsi bersama suaminya,”katanya.

Beliau mendedahkan kedua-duanya suspek berusia 34 tahun direman tiga hari bermula hari ini sehingga lusa bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 372 (1)(e) (mempromosi pelacuran), 372B (menawar pelacuran) , 372A (memperdagangkan pelacuran) kesemuanya di bawah Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

BH ONLINE