IPOH – Seorang ketua jabatan di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM30,000, dua tahun lalu.
Pengarah di Jabatan Bangunan dan Senibina MPAJ, Ahmad Alhairi Mohamed Yusuf, 47, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan sebaik dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM20,000 melalui akaun miliknya tanpa balasan daripada Nazman Puteh, 64, yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM10,000 melalui akaun Maybank miliknya daripada Nazman menerusi melalui Song Teik Sun, 61, dan Wong Huey Peng, 37.
Kedua-dua perbuatan didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Taiping, dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada 2 November 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri dan Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Khairul Nizam Abd Razak.
Asmaa’ menawarkan jaminan RM15,000 untuk kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa selain melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Shah Alam pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Khairul Nizam bersetuju dengan syarat tambahan itu namun memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000.
Jaminan rendah yang dimohon oleh Khairul Nizam juga mengambil kira tertuduh yang masih berkhidmat di MPAJ, memberi kerjasama baik dengan melapor diri ke Pejabat SPRM Selangor setiap bulan tanpa gagal sejak siasatan kes dijalankan setahun lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta dua syarat tambahan yang dimohon.
Hakim menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
BH ONLINE