SEREMBAN – Seorang pempengaruh media sosial yang dituduh menceroboh rumah pelakon, Zarina Anjoulie pada awal bulan lalu, hari ini menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula di Mahkamah Majistret, di sini.
Wanita berkenaan, Nurul Nur Ariani Muhammad Zahari, 42, yang dihadapkan di hadapan Majistret Saiful Sayoti sebelum ini mengaku bersalah pada prosiding 19 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki sebuah rumah di Kampung Chelet, Nilai, kira-kira jam 5 petang, 7 Mei lalu.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam, Mohd Anif Rafih memberitahu mahkamah, hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi fakta dan hukuman, namun anak guamnya mahu menukar pengakuan.
Pegawai pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna kemudian memohon satu tarikh bagi serahan dokumen sebelum mahkamah menetapkan 22 Julai depan untuk sebutan semula dengan ikat jamin diteruskan.
BH ONLINE