Angka kematian akibat tanah runtuh yang melanda Kampung Pasirlangu di Mukim Cisarua, Kabupaten Bandung Barat, Wilayah Jawa Barat Indonesia, Sabtu lalu, meningkat kepada 48 orang, dengan 30 mangsa telah dikenal pasti, lapor media tempatan pada Selasa, menurut berita Xinhua.
Menurut Xinhua, media tempatan memetik Polis Jawa Barat sebagai berkata pos Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI) di lokasi bencana telah menerima sejumlah 48 beg mayat yang dipindahkan oleh pasukan mencari dan menyelamat bersama. Daripada jumlah itu, kira-kira 30 mayat telah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga mereka.
Polis dilapor berkata, kerja pengenalpastian baki 18 mayat masih dijalankan melalui penyelarasan data, termasuk perbandingan maklumat bedah siasat dan ante-mortem, memandangkan senarai orang hilang terus dikemas kini.
Bagi mempercepatkan usaha pencarian, pihak berkuasa juga telah mengerahkan anjing mencari dan menyelamat untuk membantu pasukan gabungan mencari mangsa yang tertimbus di bawah serpihan tanah runtuh, terutama di kawasan yang sukar diakses dengan peralatan berat.























