Hujan lebat dan salji melanda beberapa wilayah di seluruh Afghanistan, membunuh 61 orang dan mencederakan lebih 100 orang lain, kata pegawai pada Sabtu, menurut berita Anadolu.
Hafiz Muhammad Yousaf Hamad, jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Afghanistan (ANDMA), dilapor berkata salji lebat menyekat jalan di kawasan pergunungan.
“Sepanjang tiga hari lalu, sekurang-kurangnya 61 orang telah terbunuh dan 110 cedera,” kata Hamad dalam mesej video disiarkan di X, menurut Anadolu.
Anadolu melaporkan, menurut Hamad, beberapa wilayah, termasuk Kabul, Parwan, Panjshir, Ghazni, dan Nuristan, telah terjejas oleh salji dan hujan yang teruk.
Jalan-jalan di kawasan berbukit dilaporkan masih tersumbat, walaupun pihak berkuasa sedang berusaha untuk membuka semula laluan dan menyediakan bantuan kecemasan kepada komuniti terjejas.
Menurutnya, 458 rumah rosak sepenuhnya atau sebahagiannya, menyebabkan 360 keluarga kehilangan tempat tinggal.
Lebuhraya Salang, salah satu arteri utama Afghanistan, yang menghubungkan wilayah utara negara itu ke Kabul dan kawasan selatan, masih ditutup, menurut pegawai.

















