Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan tujuh lagi cedera pada Selasa dalam satu letupan di sebuah kilang bahan letupan di Quatro Barras, sebuah perbandaran di negeri Parana di selatan Brazil, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.
Letupan itu dilaporkan berlaku pada sebelah pagi di kemudahan syarikat Enaex Brasil di kawasan perindustrian dekat Curitiba, ibu negeri itu.
Enaex Brasil dilaporkan mengeluarkan kenyataan dengan senarai sembilan mangsa, menyatakan takziah dan menawarkan untuk bekerjasama dengan siasatan.
Tujuh yang cedera telah dirawat di tempat kejadian, menurut syarikat itu, seperti dilaporkan.
Setiausaha Keselamatan Awam Parana Hudson Teixeira dipetik berkata pada sidang akhbar, mayat mangsa rosak teruk sehingga ujian DNA diperlukan untuk mengesahkan identiti mereka.
Menurut Teixeira, letupan itu berlaku ketika sekumpulan pekerja mengendalikan bahan letupan yang akan dimuatkan ke dalam trak.



