Sekurang-kurangnya sembilan orang meninggal dunia dan lima lagi masih hilang ketika banjir terus melanda wilayah tengah Vietnam, berita Xinhua memetik laporan portal kerajaan pada Rabu.
Menurut Pejabat Jawatankuasa Pemandu Pertahanan Awam Kebangsaan, enam kematian telah direkodkan di bandar Da Nang, seorang di bandar Hue dan dua di wilayah Quang Ngai.
Mempengerusikan mesyuarat mengenai pemulihan pasca banjir dengan pihak berkuasa kawasan yang terjejas pada Rabu, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dilaporkan berkata, ini adalah peristiwa banjir yang sangat teruk di tengah Vietnam, dengan banyak kawasan mengalami hujan yang memecah rekod.
Menteri Pertanian dan Alam Sekitar Tran Duc Thang dilaporkan berkata, banjir telah menenggelamkan 32 daripada 40 komun dan mukim (ward) di bandar Hue dan Da Nang, menjejaskan lebih daripada 110,000 isi rumah secara keseluruhan.
Perdana menteri menggesa pihak berkuasa tempatan untuk terus memindahkan penduduk dari kawasan yang berisiko tanah runtuh dan banjir kilat, dan memastikan bekalan makanan, barangan keperluan, air bersih dan disinfektan yang mencukupi untuk komuniti terjejas.



