Sekurang-kurangnya sembilan lagi rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak, meninggal dunia dalam tempoh 24 jam terakhir akibat kekurangan zat makanan teruk di Jalur Gaza, lapor Anadolu memetik Kementerian Kesihatan di kawasan terkepung itu pada Jumaat.
Menurut agensi berita itu, Ketua Pengarah kementerian, Munir al-Bursh, memberitahu kematian baharu itu meningkatkan jumlah kematian akibat kebuluran kepada 122, antaranya 83 kanak-kanak.
Menurut Anadolu, Gaza kini sedang mengalami salah satu malapetaka kemanusiaan terburuk dalam sejarahnya, dengan bantuan kemanusiaan yang sebahagian besarnya disekat, penyebaran kelaparan dan tanda kekurangan zat makanan akut yang ketara, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan pesakit, dilaporkan di seluruh wilayah.



