JOHANNESBURG — Seramai 118 pelombong haram dibawa ke permukaan semasa operasi menyelamat di lombong emas terbiar pada Isnin dan Selasa di Stilfontein di Wilayah Barat Laut Afrika Selatan, dengan 36 disahkan maut, menurut polis.
Ketika operasi menyelamat memasuki hari kedua, “sejumlah 118 pelombong haram telah diekstrak setakat 4 petang (1400 GMT) pada Selasa,” kata jurucakap kebangsaan Perkhidmatan Polis Afrika Selatan, Athlenda Mathe.
Mathe berkata, hari pertama operasi, yang bermula pada Isnin, menyaksikan 35 pelombong haram diselamatkan, dengan sembilan disahkan maut. Dan pada hari kedua, “sejumlah 83 pelombong haram telah diekstrak: 56 masih hidup dan 27 disahkan mati.”
“Semua 82 individu yang ditahan menghadapi pertuduhan melakukan perlombongan haram, menceroboh dan melanggar Akta Imigresen,” katanya.
Pada Selasa juga, Menteri Sumber Mineral dan Petroleum Afrika Selatan Gwede Mantashe dan Menteri Polis Senzo Mchunu melawat lombong itu untuk menilai kemajuan operasi menyelamat. Mantashe menyifatkan keadaan di Stilfontein sebagai jenayah, memanggilnya “serangan oleh orang asing”.
Krisis di Stilfontein telah berterusan selama berbulan-bulan, dengan lebih daripada 1,500 pelombong haram muncul setakat ini. Pada akhir 2024, sekurang-kurangnya lapan mayat telah diambil. Ramai pelombong haram itu dipercayai berasal dari negara jiran.
XINHUA