8 cedera selepas bom hentam kenderaan polis di Pakistan

ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya lapan orang cedera dalam letupan bom yang menghentam kenderaan polis di daerah Bannu di wilayah Khyber Pakhtunkhwa barat laut Pakistan pada Selasa, kata polis.

Polis tempatan berkata, letupan bom di tepi jalan menghentam kenderaan itu semasa rondaan di kawasan Sorangi di daerah itu, menyebabkan lapan orang cedera.

Susulan kejadian itu, polis, pasukan keselamatan dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi dan memindahkan mangsa yang cedera ke hospital berhampiran.

Menurut polis, seorang pegawai polis dan empat konstabel adalah antara mereka yang mengalami kecederaan dalam letupan itu.

Menurut skuad pemusnah bom, alat letupan buatan telah dipasang di tepi jalan, dan ia diletupkan dengan alat kawalan jauh.

Pasukan keselamatan dan polis telah mengepung kawasan itu dan mula mencari pelaku.

XINHUA