Sekurang-kurangnya 52 orang, termasuk dua wanita hamil dan seorang dewasa muda yang mengalami kegagalan buah pinggang akut, dimasukkan ke hospital di Bandar HCM selepas makan bánh mì (sandwic Vietnam) dari sebuah kedai sandwic, dalam apa yang disyaki oleh pihak berkuasa sebagai kes keracunan makanan besar-besaran, lapor Vietnam News.
Seorang wakil Hospital Besar Tam Anh dilapor berkata pada malam Jumaat bahawa hospital itu telah menerima 12 pesakit yang dikaitkan dengan wabak di Wad Hạnh Thong.
Dua daripada pesakit berada di peringkat akhir kehamilan, pada usia kehamilan 30 dan 35 minggu.
“Ramai daripada mereka berasal dari keluarga atau syarikat yang sama,” Huynh Van Muoi Mot, Timbalan Pengarah Jabatan Kecemasan dilapor berkata.
“Kami mempunyai satu kes teruk dalam rawatan rapi dan seorang pesakit berusia 21 tahun yang mengalami kegagalan buah pinggang akut.”
Salah seorang mangsa, yang dikenal pasti sebagai Puan L, dilapor berkata dia membeli bánh mì dari kedai itu pada 5 November untuk keluarganya, termasuk ibu, suami, anak lelaki dan pembantu rumahnya.
Keempat-empat mereka mula mengalami sakit perut, cirit-birit dan demam sejurus selepas makan. Menjelang Jumaat, simptom mereka tidak bertambah baik, dan mereka dibawa ke hospital.
Keluarga dan pekerja lain di sebuah syarikat yang memesan 20 bánh mì daripada penjual yang sama melaporkan simptom yang serupa; muntah, cirit-birit, sakit badan dan demam. Beberapa kemudian dimasukkan ke hospital untuk rawatan.
Doktor mendiagnosis kebanyakan pesakit dengan gastroenteritis akut dan kolitis yang disebabkan oleh jangkitan bakteria – tanda-tanda tipikal penyakit bawaan makanan.
Seorang pegawai dari Hospital Tentera 175 dilapor berkata hospital itu telah merawat 40 lagi kes yang disyaki pada 6 November.
Pesakit, berumur lapan hingga 83 tahun, termasuk pelajar, pekerja pejabat dan buruh kasar. Kebanyakannya menunjukkan demam, sakit perut dan dehidrasi.
Seramai 38 telah dilaporkan dibenarkan keluar, manakala dua masih di bawah pemerhatian.

















