KAMPALA/MOGADISHU, 2 Julai – Lima orang terbunuh dan enam lagi cedera apabila sebuah helikopter tentera Uganda terhempas pada Rabu di ibu negara Somalia, Mogadishu, menurut kenyataan dikeluarkan tentera Uganda.
Kenyataan itu berkata helikopter itu membawa lapan anggota, termasuk enam kru. Juruterbang, pembantu juruterbang dan jurutera penerbangan terselamat tetapi mengalami kecederaan serius dan melecur teruk. Penumpang lain terbunuh, manakala tiga orang awam di darat turut cedera.
Helikopter Mi-24 itu jatuh kira-kira 200 meter di timur Ramp Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Adde di Mogadishu, mencetuskan letupan peluru pada pesawat dan menyebabkan kerosakan pada struktur berdekatan, tambah kenyataan itu.
Menurut jurucakap tentera Uganda, Felix Kulayigye, satu pasukan akan dihantar ke Mogadishu tidak lama lagi untuk menyiasat punca nahas. Helikopter itu dalam perjalanan pulang dari misi pengiring rutin ketika kejadian.
Tentera Uganda telah menolak kemungkinan serangan luar, dengan Kulayigye berkata Mogadishu sebahagian besarnya telah dibersihkan daripada kumpulan militan al-Shabab, justeru tidak mungkin helikopter Mi-24 ditembak jatuh.
“Sebagai helikopter serangan, ia dimuatkan dengan roket, jadi roket itu menyebabkan kebakaran. Jika ia tindakan luar, kita tidak akan bercakap mengenai siasatan kerana kita akan tahu puncanya,” katanya.
“Sudah tentu ia (nahas itu) menjejaskan kecekapan tugas pengiring bagi konvoi yang membawa logistik. Apabila satu helikopter tidak beraksi, anda pasti akan rasa semput. Tetapi ia tidak akan menghentikan kerja yang sedang dilakukan,” tambah Kulayigye.
Misi Sokongan dan Penstabilan Kesatuan Afrika di Somalia (AUSSOM) mengesahkan kemalangan itu, mengatakan helikopter dikendalikan oleh kontinjen Angkatan Pertahanan Rakyat Uganda, terhempas kira-kira jam 7:30 pagi waktu tempatan (0430 GMT) selepas berlepas dari Baledogle Airfield, kira-kira 90 kilometer barat laut ibu negara Somalia.
“Tiga daripada lapan dalam pesawat itu segera diselamatkan dan dikejarkan ke hospital AUSSOM Tahap II di Mogadishu untuk rawatan perubatan,” kata AUSSOM dalam satu kenyataan dikeluarkan di Mogadishu.
Ahmed Macallin Hassan, ketua pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Somalia, berkata operasi penerbangan di lapangan terbang itu diteruskan seperti biasa, walaupun sebahagian landasan telah ditutup buat sementara waktu kerana serpihan daripada nahas itu.
September lalu, tentera Uganda kehilangan sebuah helikopter pengangkutan ketika terbang dari Mogadishu ke Baledogle Airfield. Semua empat anggota pengaman di dalam pesawat terselamat dari insiden itu, menurut tentera.
Uganda telah menjadi salah satu negara penyumbang utama pasukan kepada misi pengaman Kesatuan Afrika di negara Tanduk Afrika itu sejak 2007.
XINHUA, 2.7.2025