45 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Gaza: sumber

GAZA, 5 Julai – Sekurang-kurangnya 45 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Jalur Gaza pada Sabtu, di tengah-tengah amaran mengenai keruntuhan sepenuhnya sektor awam akibat kekurangan bahan api.

Dalam serangan ganas, pesawat perang Israel melepaskan beberapa peluru berpandu pada waktu fajar ke atas khemah yang menempatkan orang kehilangan tempat tinggal di kawasan al-Mawasi, barat Khan Younis, di selatan Jalur Gaza, menurut sumber dan saksi tempatan.

Sumber dan saksi berkata, api menyambar sejumlah besar khemah di kawasan itu di tengah-tengah jeritan dan tangisan wanita dan kanak-kanak.

Mahmoud Basal, jurucakap Pertahanan Awam di Gaza, memberitahu Xinhua bahawa 17 orang, termasuk seorang doktor dan tiga anaknya, terbunuh dalam serangan itu.

Selain itu, 15 orang terbunuh, dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan kejiranan berbeza di bandar Gaza, utara jalur itu, menurut Basal.

Tambahnya, empat orang terbunuh selepas pesawat Israel menyasarkan dua rumah di kem pelarian Bureij dan Maghazi di tengah Jalur Gaza.

Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis melaporkan dalam satu kenyataan bahawa sembilan orang, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh dalam tembakan tentera Israel dekat pusat pengedaran bantuan disokong AS di utara Rafah, paling selatan Jalur Gaza.

Tiada komen segera daripada tentera Israel mengenai insiden ini.

XINHUA, 5.7.2025