JERUSALEM – Tiga roket dilepaskan dari Semenanjung Gaza ke selatan Israel pada Isnin, dengan satu melanda sebuah rumah di bandar Sderot, kata sumber Israel.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata roket itu dilancarkan dari utara Gaza. Salah satu roket telah dipintas oleh Tentera Udara Israel, satu lagi mendarat di Sderot, dan yang ketiga jatuh di kawasan lapang berdekatan.
Tiada kecederaan dilaporkan, tetapi perbandaran Sderot mengesahkan satu roket melanda halaman belakang rumah kediaman. Gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan kerosakan kecil di tapak terbabit.
Tembakan roket dari Gaza semakin rancak baru-baru ini, apabila tentera Israel meningkatkan serangan udara dan serbuan darat ke atas enklaf itu di tengah-tengah rundingan semula di Doha, Qatar yang bertujuan untuk menghentikan konflik selama 15 bulan antara Israel dan Hamas.
Menurut pengiraan terkini oleh pihak berkuasa kesihatan di Gaza, serangan Israel telah membunuh 45,854 rakyat Palestin dan mencederakan 109,139 yang lain di kawasan itu.
XINHUA