Dua wanita maut selepas dirempuh sebuah kereta di lebuh raya di utara Melbourne pada malam Khamis ketika cuba membantu haiwan cedera, lapor Xinhua.
Dua wanita terbabit dilaporkan dilanggar sebuah kereta di lebuh raya di Craigieburn, 25 km di utara pusat Melbourne, sejurus selepas 7:30 malam pada Khamis.
Seorang daripada wanita terbabit, berusia 30 tahun, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Yang kedua, juga 30, dihantar ke hospital tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.
Menurut Xinhua, kenyataan polis berkata dipercayai dua wanita itu keluar dari kenderaan mereka sendiri untuk membantu haiwan yang cedera sebelum mereka dilanggar, manakala media tempatan melaporkan haiwan itu adalah seekor kanggaru.
Pemandu kenderaan yang melanggar mereka dilaporkan kekal di tempat kejadian dan membantu polis.



