KUALA LUMPUR – Seramai 183 pelajar di ibu kota dikenal pasti terbabit dalam kegiatan samseng jalanan dan lumba haram dalam tempoh tiga tahun lalu, termasuk 135 pelajar sekolah menengah.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata jumlah itu direkodkan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
Katanya, baki 48 individu pula terdiri daripada pelajar kolej dan institusi pengajian tinggi (IPT), sekali gus menunjukkan keperluan tindakan lebih serius dan menyeluruh.
“Statistik pelajar yang dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah pula menunjukkan penurunan ketara berbanding tahun lalu.
“Pada 2023, seramai 84 pelajar direkodkan terbabit dengan kes dadah, namun sehingga pertengahan tahun ini, hanya 26 pelajar yang dikenal pasti terlibat,
“Antara jenis dadah yang dikesan termasuk amphetamine, methamphetamine, ganja, syabu dan Eramin 5,” katanya sidang media selepas merasmikan Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPKKL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Program ini disertai lebih 300 pelajar sekolah menengah dari seluruh ibu kota.
Ia anjuran bersama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Kuala Lumpur dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Mohamed Usuf berkata Jabatan Siasatan Jenayah (D7) Kuala Lumpur merekodkan penurunan tangkapan pelajar dalam kes sosial dan tidak bermoral sejak tahun lalu.
Katanya, pada 2023, ia mencatatkan 17 tangkapan manakala 2024 sebanyak 16 tangkapan dan setakat ini bagi 2025, hanya empat.
“Walaupun angka ini menunjukkan trend menurun, ia masih memerlukan pemantauan dan intervensi berterusan,” katanya.
Mohamed Usuf berkata usaha membendung gejala sosial serta pengaruh negatif dalam kalangan pelajar tidak boleh hanya disandarkan kepada pihak sekolah dan polis sahaja.
“Paling utama, pendidikan bermula dari rumah. Tanpa peranan ibu bapa dan penjaga, segala inisiatif pencegahan tidak akan berjaya sepenuhnya.
“Program seperti seminar ini penting kerana ia bukan sekadar ceramah tetapi platform untuk membentuk sahsiah dan jati diri pelajar sejak awal,” katanya.
Dalam pada itu, katanya Polis KL menugaskan dua pegawai perhubungan sekolah di keseluruhan 209 sekolah di sekitar ibu kota.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail, berkata kerjasama antara pihak polis dan sekolah amat penting bagi membendung masalah disiplin dan sosial dalam kalangan pelajar.
“Dari awal kita sudah bekerjasama dengan pihak PDRM. Sekolah-sekolah pun ada pegawai perhubungan sekolah (PPS) yang ditugaskan untuk pantau dan bantu menangani masalah pelajar,
“Sebarang kes disiplin yang dikesan akan terus disalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Kita mahu isu ini ditangani lebih awal sebelum jadi lebih serius,” katanya.
BH ONLINE