SEOUL – Seramai 177 orang terbunuh dan dua lagi hilang dari pesawat penumpang yang terhempas pada Ahad ketika mendarat di lapangan terbang di barat daya Korea Selatan, beberapa media melaporkan, memetik pihak berkuasa bomba.
Dilaporkan kira-kira jam 9:03 pagi waktu tempatan (0003 GMT) pesawat yang membawa 175 penumpang, membabitkan 173 warga Korea Selatan dan dua warga Thailand, bersama enam atendan di dalamnya terhempas ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 km barat daya ibu kota Seoul.
Penerbangan Jeju Air 7C2216 dari Bangkok, Thailand mendarat tanpa roda, terbabas dari landasan dan melanggar dinding luar landasan, dengan fiuslajnya patah separuh dan terbakar.
Hanya dua anak kapal berjaya diselamatkan di bahagian belakang pesawat itu, sebahagian besarnya rosak teruk, tetapi 177 orang disahkan maut.
Dua lagi masih tidak dapat dikesan ketika operasi mencari sedang dijalankan.
Jabatan bomba tempatan menganggarkan terdapat sedikit peluang untuk bertahan kerana penumpang tercampak keluar dari fiuslaj selepas merempuh dinding.
XINHUA