Banjir dicetuskan hujan lebat melanda barat laut Pakistan awal Jumaat, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 17 lagi hilang, lapor Anadolu memetik pegawai penyelamat.
Banjir besar dilaporkan berlaku di kawasan Tehsil Salarzai daerah Bajaur dan menghanyutkan beberapa rumah, menurut Penyelamat 1122 Khyber Pakhtunkhwa (KP) dalam satu kenyataan.
Setakat ini lapan orang maut, empat cedera manakala 17 hilang, menurut kenyataan itu.
“Mereka yang cedera telah dibawa ke hospital tempatan sementara operasi mencari mangsa yang hilang diteruskan,” Amjid Khan, pegawai Penyelamat 1122 daerah dipetik berkata.
Menurut Anadolu, secara berasingan, sekurang-kurangnya lima maut dan empat lagi cedera apabila sebuah rumah runtuh di kawasan Sori Paw di daerah Dir Lower selepas hujan lebat melanda wilayah itu.
Dalam kejadian lain, dua orang dilaporkan maut dan seorang cedera apabila sebuah kereta dihanyutkan banjir di daerah Mansehra di KP.
Angka baharu itu melonjakkan angka kematian di seluruh negara kepada 328 dalam musim monsun yang berterusan sejak 26 Jun. Lebih 740 yang lain telah cedera, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara.
Majoriti kematian iaitu 164, dan lebih 582 cedera, dilaporkan dari wilayah timur Punjab, yang paling teruk dilanda monsun semasa.
Hujan lebat juga mencetuskan tanah runtuh di tempat berbeza di KP dan wilayah Gigit Balatistan, ketika pihak berkuasa bergelut untuk memindahkan orang terkandas di kawasan berbeza.
Hujan monsun, dikatakan biasanya berlangsung dari Jun hingga September, sering menyebabkan kemusnahan di Asia Selatan, termasuk Pakistan, tetapi perubahan iklim telah meningkatkan lagi ketidakpastian dan intensitinya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.



