KOTA BHARU – Empat belas penjawat awam antara 25 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan sepanjang tempoh 18 bulan lalu kerana menerima rasuah.
Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusuff, berkata tangkapan yang dibuat di pelbagai daerah di seluruh negeri itu, termasuk 11 orang awam dengan 17 daripada jumlah keseluruhan ditahan pada tahun lalu, manakala lapan lagi dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Jumlah rasuah tertinggi pada tahun lalu ialah RM380,000, manakala yang tertinggi setakat tahun ini RM100,000. Jumlah rasuah terendah pada 2024 pula RM50, manakala paling rendah dilaporkan tahun ini RM100,” katanya.
Menurutnya, pada 2024, SPRM Kelantan telah membuka 29 kertas siasatan dan menuduh 15 individu di mahkamah, manakala bagi separuh pertama tahun ini, 10 kertas siasatan dibuka dengan tiga individu didakwa.
Azmin berkata, pihaknya akan terus memperkukuh kempen pendidikan dan kesedaran antirasuah untuk memupuk integriti dalam kalangan rakyat dan penjawat awam.
“Penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Kesedaran awam dan budaya menolak rasuah adalah kunci untuk membanteras isu ini dari akar umbi,” katanya.
BH ONLINE



