Seorang terbunuh dan seorang masih hilang selepas sebuah bot penumpang terbalik di perairan wilayah Maluku Utara, Indonesia pada Jumaat, dengan 57 yang lain diselamatkan, kata pihak berkuasa mencari dan menyelamat tempatan, menurut berita Xinhua.
Iwan Ramdani, ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Ternate di wilayah itu, dilapor berkata bot itu membawa sejumlah 59 orang ketika kemalangan itu berlaku.
Menurutnya, bot itu dalam perjalanan dari kampung Babang ke kampung Pigaraja di Kabupaten Halmahera Selatan apabila ia menghadapi angin kencang dan ombak besar dekat destinasinya di tengah-tengah keadaan cuaca buruk.
“Bot itu dilanggar ombak besar dan terbalik,” kata Ramdani, sambil menambah bahawa seorang disahkan meninggal dunia, 57 orang terselamat, dan seorang penumpang masih hilang.
Dia dilapor berkata, pasukan penyelamat bersama segera menjalankan operasi pemindahan selepas kejadian itu.
“Anggota kami masih bersiap sedia di kampung Pigaraja dan kawasan sekitarnya untuk meneruskan usaha mencari orang yang hilang itu,” kata Ramdani. “Pasukan bersedia sepenuhnya untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat selanjutnya.”

















